Profil

skttj2-800

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang menyampaikan sepatah dua kata di ruangan ini. Di kesempatan ini saya menyeru kepada semua guru agar berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti dengan memperkayakan ilmu dan kemahiran.Setiap guru perlu peka terhadap perubahan semasa bagi melaksanakan tugas sebagai pendidik yang makin mencabar. Peranan guru turut berubah dan para guru mestilah bersedia untuk berubah. Moga misi dan visi sekolah kita menjadi relaliti.

 

Guru perlu menunjukkan kecemerlangan dari aspek kepimpinan. Kecemerlangan dalam organisasi yang dipimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinan pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan sahsiah murid. Dalam masyarakat pula, guru menjadi contoh kepimpinan yang dihormati. Guru juga harus menyedari bahawa sebagai pendidik, mereka perlu menjadi suri teladan yang baik atau uswatun hasanah kepada murid, ibu bapa dan komuniti. Penilaian pelajar, ibu bapa dan masyarakat akan tertumpu kepada peribadi guru khususnya dalam menyampaikan pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Justeru, selain mempunyai ilmu yang tinggi dan relevan, penampilan diri yang positif, berketerampilan, ketinggian budi pekerti, sikap dan budaya yang positif amat dituntut. Kita hendaklah sentiasa profesional, ceria serta amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan . Sesungguhnya amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud        ” Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang-orang di bawah pimpinan kamu.”

 

Justeru, visi dan misi yang kita harapkan sudah tentu akan tercapai sekiranya ada kesungguhan yang padu dari guru,murid dan ibubapa. Murid-murid perlulah menunjukkan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. 

 

Akhir kata saya mendoakan kejayaan untuk semua murid dalam pelajaran dan apa jua bidang yang diceburi.

 

“SKTTJ BOLEH”

 



 

 

Pn. Noormaah binti Hj.Mansor

 

Guru Besar

SK Taman Tuanku Jaafar